Wednesday 26 June 2024

GURU AKADEMIK BIASA

 


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatu dan salam sejahtera. Lama saya tidak mengemaskini blog ini memandangkan saya terlalu sibuk mengurus pertukaran dan perpindahan saya ke tempat bertugas baharu dengan jawatan sebagai guru akademik biasa. Walaupun selepas 21 tahun mengajar di Tingkatan 6 terutamanya dalam subjek Sejarah, akhirnya saya terpaksa melepaskan jawatan sebagai guru akademik Tingkatan 6 dan kembali sebagai guru akademik biasa bermula 15 Januari 2024. Namun, tidak lagi mengajar subjek sejarah di Tingkatan 6, bukan bermakna saya tidak lagi mengajar sejarah sebaliknya saya masih mendapat peluang mengajar subjek sejarah di aliran perdana. Akhirnya saya merasa bebas dari bebanan dua tugas kerana semasa saya mengajar di Tingkatan 6, saya juga perlu mengajar di aliran perdana. Kini, saya akan lebih fokus mengajar subjek di aliran perdana walaupun pada ketika ini, jadual saya ada diselit dengan subjek-subjek lain. Mengajar subjek sejarah di aliran perdana lebih mudah walaupun saya belum mendapat peluang mengajar di aliran menengah atas atau Sijil Pelajaran Malaysia. Oleh itu, saya akan mula menyediakan soalan-soalan SPM bermula 2021 (KSSM) mengikut tajuk pelajaran bermula dari Tingkatan 4 dan tingkatan 5. Semoga dapat membantu guru-guru dan murid-murid sejarah SPM kelak.